“Travel Kali Ni Nak Beli Apa Ye Sebagai Ole-Ole?” – Ini 5 Produk Unik Buatan Malaysia Yang Memang Takde Kat Tempat Lain!
Malaysia dikenali sebagai negara yang beriklim khatulistiwa dengan cuaca yang hangat sepanjang tahun. Sebab itulah kebanyakan pelancong dari luar memilih Malaysia sebagai destinasi percutian dan persinggahan. Namun, selain daripada tempat pelancongan yang menarik, tahukah korang setiap negeri kita juga ada industri yang unik? Jom baca di bawah. Agak-agaknya yang mana satu korang belum pernah tengok…
Kelantan – Batik
Batik ni adalah satu bidang kraftangan yang unggul di Malaysia. Batik mula diperkenalkan secara komersil di Kelantan pada tahun 1910 tapi sudah wujud di semenanjung Malaya sejak kurun ke 15 lagi. Masyarakat sebelum ini mencanting batik menggunakan cop dari kayu dengan dakwat hitam buatan sendiri.
Namun, sekarang batik dicanting secara digital, membolehkan batik dipasarkan secara meluas dan berpatutan. Bila kita lihat pada corak-corak batik Malaysia ni, nampak tak keunikannya? Biarpun batik ni juga ada di Indonesia tetapi stail warna batik Malaysia lebih berwarna-warni dengan corak bunga dan rebung. Batik Malaysia juga takkan ada imej haiwan selaras dengan imej negara Islam. Ya ke? Kalau tak percaya cuba ke Pasar Siti Khadijah dan dapatkan baju batik satu.
Sabah – Mutiara
Mutiara ini dihasilkan apabila tiram menyelaputi butir pasir dengan lapisan keras berkilau, menjadikannya satu hiasan yang cukup cantik. Menariknya mutiara ni, sebab ia dihasilkan semulajadi, tak ada dua yang sama dari segi saiz atau warna. Jadi setiap mutiara adalah unik, jadi satu dalam sejuta!
Di Sabah ni, perusahaan ternak tiram mutiara dijalankan di Semporna, Sabah. Kini bukan saja barang kemas mutiara, malah tasbih, jam tangan dan butang baju melayu pun ada dari mutiara. Kalau ke Sabah, jangan ketinggalan ke Pasar Kraftangan di Kota Kinabalu untuk pilih mutiara Sabah asli ya..
Kedah – Gamat
Gamat juga dikenali sebagai Timun Laut atau Sea Cucumber yang merupakan sejenis hidupan laut daripada kelas Holothurioidea. Gamat merupakan spesis yang tidak bertulang dan mempunyai badan yang lembut. Kepelbagaian bentuk silinder yang dimilikinya adalah menyerupai timun, sebab itulah gamat ini digelar sebagai Timun Laut. Secara tradisional, gamat ini diproses menjadi produk dengan tujuan sebagai penyembuh luka dan untuk memulihkan kesihatan badan. Oh, patutlah gamat ni sentiasa mendapat tempat dipasaran kan? Rupanya banyak khasiat gamat ini untuk kesihatan.
Terengganu – Bot Berukir
Sejarah telah membuktikan,Terengganu masyhur dengan para pelayarnya sejak dahulu lagi. Pulau Duyong adalah antara tempat pembuatan bot yang sangat terkenal di seantero dunia. Kalau nak tahu, bot berukir dari Terengganu cukup unik dengan gaya kepala perahu yang dipanggil Bangau. Bangau Perahu ialah bahagian hujung perahu payang, iaitu tempat sangkut layar yang diletakkan ukiran halus nan indah. Korang mungkin kenal Bangau Perahu ini kerana selalu digambarkan dalam iklan-iklan pelancongan Malaysia. Kepala Bangau Perahu ni juga dijadikan costume untuk Miss World Malaysia bagi tahun 2018. Mesti korang pernah tengok gambar viral kostum ni kan, stailnya sungguh macam Wonder Woman!
Pahang – Songket
Asal usul perkataan songket dikatakan berasal daripada ‘menyungkit’ dari bahasa Siam ‘kek’ atau bahasa Cina ‘songkok’, yang membawa maksud menenun. Dahulunya songket cuma pakaian di-Raja kerana ia dihasilkan dengan benang yang dililit emas tulen. Kini ada songket dengan benang biasa yang lebih berpatutan. Untuk menghasilkan songket, ada lapan proses rumit yang terlibat iaitu melerai, menganing, menggulung, menyampuk, menghubung, mengarak, menyolek, barulah dapat menenun.
Raja Permaisuri Agong kita, Tunku Azizah, merupakan pendukung seni songket Pahang. Beliau menitahkan untuk banduan-banduan dari Penjara Penor menjadi penenun pakaian di raja khas untuk baginda. Kalau korang perasan, pakaian semasa istiadat pertabalan bulan yang lalu adalah songket keemasan, yang ditenun khas dari Penor ni tau.
Ha itu baru lima. Belum lagi kita ceritakan industri makanan ikonik seperti cencalok Melaka, keropok lekor Terengganu dan lada hitam Sarawak. Macam-macam hasil menarik dari tanah Malaysia kita ni rupanya. Jadi berbanggalah menjadi anak Malaysia, kerana kita mempunyai keunikan yang terkenal di mata dunia.
Jadi kalau anda berkesempatan singgah di negeri-negeri tersebut, janganlah lupa untuk mencari dan memperkenalkan produk ikonik ini kepada keluarga dan yang tersayang. Alang-alang berjalan-jalan tu juga, jangan lupa juga tentang kempen Wavin’ Scent Sale tau. Kita bukan saja ada combo untuk wangian badan, wangian travel malahan juga wangian kereta. Mesti lagi syok mengembara bersama keluarga ya tak?
Layari dexandra.com/waveyourscent untuk info lebih lanjut tentang kempen jualan ni tau. Sementara stok masih ada ya!