Suatu ketika dahulu masa senggang sangat sinonim dengan permainan tradisional. Tanpa gajet dan TV, masyarakat kita menghabiskan masa yang terluang dengan bermain sukan rakyat. Jika diimbau kembali zaman kanak-kanak, pada setiap petang, kita berkumpul untuk bermain bersama kawan-kawan di padang, halaman rumah mahupun taman permainan kan. Walaupun sukan rakyat dan permainan tradisional yang dimainkan pada ketika dahulu tidaklah secanggih permainan di smartphone kita pada masa kini, namun ia tetap seronok sehingga menjadi kenangan manis buat kita, kan? Okay, disini admin akan share kan sukan-sukan rakyat yang pernah popular pada masa ketika dahulu. Mesti korang tersenyum kembali teringat kenangan dulu.

 

  1. Konda Kondi

Konda-kondi adalah sukan yang dicipta sebagai salah satu cara untuk masyarakat berhibur dan bergembira setelah penat bekerja. Permainan ni mudah saja, hanya dua batang kayu, satu panjang satu pendek; dan lubang kecil yang digali di tanah saja diperlukan. Konda kondi ini juga dikenali sebagai Perik Mata kerana ia memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain. Haa, kenapa perlu fikiran yang tajam? Sebab korang perlu memikir arah yang selamat untuk menguis kayu supaya tak dapat ditangkap pihak lawan yang mengelilingi korang. Jadi siapa yang main ni masa kecil mesti bukan saja kreatif malah aktif kan? 

 

  1. Galah Panjang

Galah panjang antara sukan rakyat yang memerlukan gelanggang. Garis-garis akan dilakar atas tanah kosong dengan 2 lajur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain. Permainan ni memerlukan seorang ketua atau ‘ibu’ yang bertanggungjawab mengawal ‘anak’ dari pihak lawan yang mengawal gelanggang. Tapi pada masa yang sama ‘ibu’ juga perlu melindungi dirinya. Kalau si ‘anak’ dapat ditangkap lawan, si anak berhenti bermain. Tapi kalau si ‘ibu’ pula yang ditangkap, habis seluruh anak-anaknya pun tamat permainan sekali. Jadi pilihlah ketua yang betul ya!

 

  1. Baling Tin / Baling selipar

Permainan baling tin ini dimulakan dengan menyusun tin-tin kosong dengan susunan empat, tiga, dua dan satu bermula dari bawah. Baling selipar pula, menyusun selipar dalam bentuk piramid/ Pemain-pemain dibahagikan sama rata kepada dua kumpulan iaitu kumpulan penyerang dan pelontar. Kumpulan pelontar akan memulakan permainan dengan melontar selipar untuk menjatuhkan piramid itu. Sekiranya ia runtuh, pasukan pelontar akan lari untuk mengelak balingan selipar dari pasukan penyerang. Dalam masa yang sama, pasukan pelontar perlu menyusun semula tin atau selipar ke susunan asal. Sekiranya berjaya menyusun semula, maka kumpulan pelontar mendapat satu mata. Permainan ini memerlukan strategi dan juga kepantasan pemain. Pasukan yang paling hebat biasanya akan mempunyai penyusun dan pelari terpantas dalam satu kumpulan. 

 

  1. Gasing

Tahukah korang, maksud gasing ialah “gah berpusing”? Gasing adalah satu permainan tradisional yang popular sehingga kini. Biasanya gasing dimainkan selepas musim menuai. Ada dua jenis permainan gasing iaitu gasing uri dan gasing pangkah. Yang paling popular di kalangan kanak-kanak di zaman dahulu semestinya gasing pangkah. Bulatan akan dilukis di atas tanah dan pemain akan membaling gasing masing-masing. Gasing siapa ‘dipangkah’ sehingga keluar gelanggang akan kalah serta gasing yang paling lama berpusing di dalam dikira pemenang. Disebabkan gasing ini diperbuat dari kayu, banyak juga insiden dimana gasing terbelah dua apabila dipangkah. Ini membuatkan pertandingan gasing pangkah lebih mengujakan. Gasing pangkah pula kini lebih popular dengan orang dewasa di pantai timur. ia memerlukan kesabaran dan ketahahan kerana gasing siapa paling lama berpusing akan menang. Kalau nak tahu, permainan gasing uri ni boleh berlangsung lebih dari dua jam sebab begitulah lamanya gasing tu berpusing!

 

  1. Tuju Guli

Permainan guli ini amat digemari oleh kanak-kanak di merata-rata tempat di Malaysia. Permainan guli ini juga dikenali sebagai Kelereng, yang merupakan permainan tradisional melayu yang digemari oleh kanak-kanak lelaki mahupun perempuan. Dalam permainan ini, guli akan diletakkan dalam lubang yang digali dan setiap pemain akan cuba menjentik guli itu keluar dari lubang. Jumlah jentikan guli tertinggi dikira pemenang. Permainan ini biasanya dimainkan di tempat yang teduh dan pada musim panas. Ini kerana untuk permainan guli ini ia memerlukan tanah yang kering untuk mengali lubang. Pada musim hujan permainan guli ini tidak sesuai dimain kerana tanah akan lecak dan menyebabkan permainan guli tidak seronok.Benda paling seronok dalam bermain guli semestinya mengumpul bilangan guli yang banyak dan cantik. Setiap pemain mesti ada satu guli kesayangannya yang bukan saja cantik tapi paling berkesan dalam ‘menembak’ guli lain. Betul tak?

 

Antara kelima-lima sukan rakyat ini korang pernah main kan masa zaman kanak-kanak? Betul-betul nostalgia lah permainan-permainan ni. Sampaikan admin pun rindu zaman kanak-kanak admin dulu sebab teringat nak main semua sukan rakyat ni semula. Tapi peredaran masa dan kewujudan mainan yang makin canggih ni telah mengubah populariti sukan rakyat. Kalaulah masyarakat zaman sekarang masih main permainan rakyat ni, tentu mereka lebih aktif dan kreatif kan. Jadi apa kata korang ambil masa hujung minggu yang panjang ini untuk memperkenalkan mainan rakyat kepada anak-anak atau saudara korang. Mana tahu terpalit kembali nostalgia!

September 13, 2019 — de-xandra Admin