Siapakah selebriti duta perfume yang pertama di dunia?
Masihkah korang ingat zaman De’Xandra ada duta artis dulu?
Dalam tahun 2016 Nabil dan isterinya Zira pupular sebagai wajah De’Xandra. Masa tu terpampang muka Nabil mana-mana saja korang pergi, atas billboard, dalam TV, dalam majalah, dalam flyer dan macam-macam lagi. Iklan isteri dia pakai baju putih dan sembur perfume De’Xandra untuk pikat hati suami tu, kita ingat-ingat sampai kini. Sampaikan, tahun 2019 ni pun masih ada yang cakap pada kami, mereka kenali De’Xandra melalui Nabil. begitu powernya kuasa marketing duta produk ni.
Nak tahu tak, guna artis untuk jual perfume ni bukan baru. Malahan sebenarnya syarikat yang pertama menggunakan artis untuk melariskan produk ialah perfume! Ye la kan, artis ni ada punya tarikan tersendiri sebab peminat akan beli apa saja yang artis tu guna untuk membuktikan bahawa dialah peminat setia. Hm, korang pernah tertanya-tanya tak siapa agaknya yang mulakan trend guna duta artis ni?
DUTA PERFUME PERTAMA DUNIA
Kalau mengikut sejarah moden, duta perfume yang PERTAMA di dunia ialah seorang artis / penyanyi bernama Mary Garden. Eh bunyi ada sikit-sikit macam nama produk kosmetik popular tu. Hehehe. Mary Garden ni seorang penyanyi berketurunan Scotland yang bermata bundar dan berambut ikal mayang yang hidup pada abad ke-19 dulu. Beliau berhijrah ke Amerika ketika berusia 9 tahun dan mula menunjuk minat menyanyi sejak kecil lagi. Beliau mula popular apabila diberi peluang menyanyi dalam satu opera di Perancis. Selepas tu, beliau membintangi banyak opera sehingga mencapai level ‘diva’ di masa itu.
Sementara itu, Rigaud, sebuah syarikat wangian Perancis sedang memikirkan cara untuk pecah pasaran Amerika. Mereka teringat akan Mary yang popular di kedua-dua Eropah dan Amerika. Mary dipilih kerana beliau bukan saja popular tapi tidak terlalu ‘highclass’ jadi mudah diterima kaum wanita kelas pertengahan.
Oleh itu, pada tahun ke 1910-an wajahnya yang jelita dicetak di atas kotak, pembalut, kad nama, papan tanda, dan segala macam bahan promosi di kedai wangian itu. Sales terus melonjak! Bukan itu saja, untuk menumpang populariti diva ini, syarikat wangian tersebut mengeluarkan satu set mekap yang lengkap atas nama Mary Garden. Set ini digambarkan mewah dengan kotak merah menyala dihiasi medal keemasan dengan wajah Mary. Kandungannya bukan saja ada perfume tapi termasuk cermin kompak, bedak muka, krim malam, krim siang malah pembersih gigi! Produk itu jugalah yang memulakan ‘trend’ bekas bedak kompak dari besi yang sampai sekarang pun masih menjadi kegilaan wanita.
Hasilnya, brand tersebut makin naik sehingga dapat menakluk pasaran Amerika dan Kanada. Wow, mesti Mary dah kaya kan? Em…ya, tapi mungkin bukan kerana wangian ini. Beliau sudahpun mendapat ribuan dolar daripada persembahan nyanyian yang beliau lakukan setiap hari. Tapi lain halnya yang jadi apabila Rigaud mula memohon hak cipta untuk nama…Mary Garden!
Alamak, nama orang pun boleh di trademark kan ya. Mujur Mary membuat bantahan rasmi pada tahun 1937 jadi ia tidak lepas. Sejak dari itu, membuat trademark atas nama orang yang wujud (atau pernah wujud) tanpa kebenaran bertulis dari tuan punya badan, walaupun tuan punya badan pernah memberi kebenaran untuk menggunakan namanya untuk tujuan promosi adalah dilarang.
Kini sudah lebih separuh abad berlalu, dan Mary sudahpun meninggal dunia. Syarikat Rigaud pula masih beroperasi hingga ke hari ini namun lebih memfokuskan kepada berdiri di atas nama sendiri sebagai ‘niche perfume’, tanpa duta. Namun, nama wangian Rigaud Mary Garden masih legend sehingga ke hari ini. Kalau anda ke muzium Smithsonian di Amerika Syarikat, ada sabun wangi Mary Garden yang dipamerkan di sana yang masih belum dibuka. Hm, agak-agaknya masih wangi tak macam dulu? Korang rasa?