Eh kawan-kawan, jangan begitu. Belajar seni pertahankan diri ni bukan saja untuk mempertahan diri dan keluarga dari bahaya tapi juga untuk sihatkan badan. Penting juga untuk kita mengenali dan menghargai satu bentuk seni yang hampir ditelan zaman ni. Kalau bukan anak watan sendiri yang belajar dan amalkan siapa lagi. Nanti kita hanya dapat tengok-tengok seni ni di buku dan wayang saja. Ni admin share kan 5 jenis seni yang popular di Malaysia boleh dah korang start nak survey tempat untuk pergi belajar lepas baca artikel ni.

 

  1. Silat

Silat adalah salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa Melayu serta Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau dan kini sudah menjadi satu warisan budaya kita. Silat terkenal sebagai cara pertahanan diri yang banyak menggunakan kuncian, sama ada kunci urat saraf atau anggota tubuh lawan supaya dia tak dapat menyerang. Paling hebat ialah kunci mati yang bukan saja menghentikan serangan tapi menyebabkan si penyerang sakit. Silat ini ada banyak jenis sehingga dikatakan ada lebih 360 jenis silat yang wujud. Antara yang ‘famous’ ialah Silat Harimau sebab digunakan dalam filem Black Panther, dan Pencak Silat yang digunakan dalam filem Raid dan John Wick 3 tu. Kalau korang tengok mesti korang rasa Wow! .

 

  1. Wushu

Wushu merupakan sekumpulan gaya pertarungan yang telah diwujudkan ratusan abad yang lalu di China. Wushu mempunyai gaya yang tersusun dan berseni, menarik untuk dipelajari. Ia menggabungkan elemen persembahan bersama teknik bela diri. Namun wushu adalah sukan yang merbahaya jika tidak dipelajari dengan betul kerana selain melibatkan aksi lasak, ia juga menggunakan senjata. Kalau nak tahu, kegiatan wushu di Malaysia ini lebih menumpu kepada pertandingan dalam kategori ‘sanda’  (seni pertempuran) dan ‘taolu’ (seni persembahan). Pada 2013 semasa Kejohanan Wushu Dunia di Kuala Lumpur, kita mendapat tempat ketiga keseluruhan dengan empat pingat emas. Hebat kan?

 

  1. Silambam

Silambam atau Chilambam, merupakan seni bela diri menggunakan kayu, dipercayai dari Tamil Nadu India, di mana penduduk tempatan menggunakan tongkat buluh atau rotan bagi mempertahankan diri mereka dari haiwan buas. Khabarnya silambam dibawa masuk ke negara kita sejak kewujudan Kesultanan Melayu Melaka lagi, apabila imigran beragama Hindu berhijrah ke semenanjung dan membawa bersama ilmu pertahanan diri mereka. Seni silambam menggunakan beberapa pola pergerakan kaki, tangan dan badan berasaskan pergerakan haiwan, terutamanya bentuk ular, helang dan monyet. Disebabkan seninya yang tersusun ini, ia kini popular sebagai seni yang dipersembahkan di dalam majlis-majlis keraian. 

 

  1. Taekwando

Dalam bahasa Korea, Tae bermakna “menumbuk”; Kwon bermakna “menendang”; dan Do bermakna “cara” atau “seni”. Jadi, Taekwondo bolehlah diterjemahkan secara kasar sebagai “seni menendang dan menumbuk”.  Ia dibawa masuk ke Malaysia oleh Duta Korea pada tahun 1966 dan berkembang sejak itu. Biarpun Taekwondo merupakan seni bela diri Korea, ia sangat popular di negara kita. Ramai ibu bapa menghantar anak mereka mempelajari ilmu ini sejak tadika lagi. Dalam Persatuan Taekwando Malaysia, ahli lembaga tertingginya terdiri dari Melayu, Cina dan India. Jadi bolehlah dikatakan ia Seni Pertahankan Diri yang sudah sebati dalam jiwa Malaysia. Pengamal-pengamal taekwando di Malaysia dikelaskan mengikut kemahiran mereka yang dibezakan dengan warna tali pinggang. Tali pinggang hitam bermaksud tahap tertinggi dan mereka boleh dihantar ke Korea untuk berguru di sana, serta diberi tauliah mengajar orang lain. Jadi bersedia ke anda untuk mempelajari seni mempertahankan diri taekwando ini?

  1. Muay Thai / Tomoi

Seni mempertahankan diri dari Thailand ini sudah lama wujud namun mula ‘mainstream’ sejak diangkat dalam filem seperti ‘Ong Bak’ dan ‘Bunohan’. Muay Thai atau nama lainnya Tomoi dianggap sebagai seni mempertahankan diri yang mengancam dan paling digeruni di dunia. Tomoi banyak menggunakan siku dan lutut sebagai anggota tubuh yang paling keras untuk menjadi senjata yang ampuh. Di Malaysia, Tomoi popular di negeri bersempadan dengan Thailand dan warga berketurunan Siam seperti di negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan. Tomoi bukan saja memaksa pengamalnya mempunyai ketahanan fizikal yang tinggi, ia juga memerlukan kepantasan berfikir kerana seni perlawanannya sangat pantas. Sebab itulah yang aktif dalam tomoi biasanya orang-orang yang muda sahaja. Tahukah anda atlet kita yang menang emas dalam Kejohanan Muay Sedunia tahun lalu berusia 11 tahun saja? Wow mudanya!

 

Haa, antara 5 seni mempertahankan diri yang admin share ni ada tak yang korang tertarik untuk belajar? Mesti ada salah satu daripada semua ini yang menarik minat. Tapi satu saja pesanan admin, sebelum nak belajar atau berguru, sediakanlah mental dan fizikal yang kuat. Ingat! Seni mempertahankan diri ini memerlukan usaha yang konsisten dan keadaan tubuh badan yang tip-top. Insya-Allah bukan saja badan sihat, mungkin anda dapat menjadi hero membasmi jenayah pada satu hari nanti!

 

September 10, 2019 — de-xandra Admin
Tags: Zatul Akma