Biarpun Pemodenan Negara Semakin Maju Namun Budaya Masih Kekal! – Ini 5 Budaya Negeri Didalam Malaysia Yang Korang Mungkin Taktahu.
Bila korang bercakap pasal budaya, apa yang terlintas di fikiran? Bagi admin, perkataan budaya mengingatkan tentang seni, muzik, tarian, ritual, agama, dan teknologi satu kaum seperti penggunaan alat, cara memasak, tempat untuk berteduh dan juga cara berpakaian. Yang pastinya di Malaysia, budaya kita punya perbezaan dari negeri ke negeri. Kalau kami sebutkan negeri-negeri di bawah, apakah budaya yang korang tahu bagi setiap negeri ni? Ha, teruskan baca ya…
- Perak
Perak ni tak asing lagi sebagai tempat perlancongan yang wajib di Malaysia, siap dapat pengiktirafan lagi dari Lonely Planet, majalah pelancongan yang terkenal seluruh dunia.
Semestinya sebab adat istiadat dan kebudayaan Melayu di Perak penuh dengan keunikan tersendiri. Di antara budaya Perak yang terkenal ialah busana ‘Puteri Perak’, yang cukup menarik kerana ia memadankan samping dan seluar dengan pemakaian sanggul dan selendang wanita. Selain daripada itu, seni tekat benang emas juga berasal dari sini. Berbeza dengan sulaman ala songket, tekat menggunakan kain baldu dan bunganya bercorak besar, Satu lagi budaya yang korang confirm pernah dengar ialah adat ‘lapan langkah’ untuk berkahwin–iaitu adat merisik, bertunang, meminang, menghantar belanja, berinai, bernikah, bersanding dan bertandang. Menarik kan. Siapa di sini pernah merasa? Angkat tangan!
- Kelantan
Masyarakat negeri Kelantan memang gemar untuk melakukan aktiviti riadah di waktu lapang. Terutamanya masa musim menuai tiba, banyak waktu senggang terisi dengan baik kerana mereka mencipta permainan rakyat. Antara permainan tradisional yang terkenal di Kelantan adalah wau bulan, gasing, sepak raga, tarik upih dan sebagainya. Antara kesemua ni, wau bulan yang pasti korang paling kenal. Betul tak? Bukan saja warnanya yang terang dan coraknya yang cantik, bentuknya yang unik menjadikannya terkenal seluruh dunia. Selain dari itu, gasing timah dan gasing leper juga menjadi identiti negeri Kelantan. Hanya mereka yang ‘legend’ saja mampu buatkan gasing tu tahan berjam-jam sekali pusing. Beyblade pun kalah!
- Johor
Terdapat pelbagai tarikan untuk dikunjungi di negeri Johor ini, namun bagi yang meminati bidang seni, warisan dan kebudayaan negeri ini yang lebih mereka cintai. Salah satunya baju melayu Johor. Siapa tak kenal kan? Gayanya tiap tahun diupdate, ada saja deisgn baru dipasarkan oleh pereka tempatan. Selain dari itu, kalau cakap bab budaya seni tari, Johor sinonim dengan kuda kepang dan zapin. Kuda kepang ini berupa patung anyaman yang berbentuk seperti badan dan kepala yang ditarikan dengan latar muzik gamelan. Zapin pula stail tarian yang berpasangan dan penuh simetri ditarikan dengan muzik samrah. Tahukah korang kebanyakan sekolah-sekolah di Johor mewajibkan asas tarian zapin untuk pelajarnya? Tanya kawan korang dari Johor, mesti dia boleh tunjuk satu gerakan!
- Selangor
Disebalik kepesatan negeri Selangor yang cukup urban ni, siapa sangka budaya negeri ini masih dipelihara rakyatnya. Salah satunya ialah Tarian Poja. Poja di sini bukan nama artis Bollywood ya, tapi maksudnya tarian memuji-muji, biasanya dipersembahkan di hadapan Sultan. Kalau sebut begini mesti korang teringatkan filem P.Ramlee di mana ada tarian yang menggunakan penari wanita sahaja diiringi pemuzik lelaki. Itulah dia Tari Poja. Satu lagi hiburan pada masa dulu adalah wayang kulit. Mesti ramai yang fikir ia budaya negeri Kelantan, kan? Tapi untuk pengetahuan korang, di negeri Selangor juga mempunyai Wayang Kulit yang dikenali sebagai Wayang Kulit Jawa. Perbezaan antara Wayang Kulit di Kelantan dengan Wayang Kulit Jawa adalah dari segi bentuk, watak dan bahasa. Wayang Kulit Selangor membawakan isu semasa yang bersesuaian dengan bangsa Melayu Jawa dan agama Islam.
- Negeri Sembilan
Biar mati anak jangan mati adat. Ungkapan itu menggambarkan betapa pentingnya adat ini supaya tidak hilang di telan arus kemodenan ini. Seperti yang kita tahu, Negeri Sembilan ini adalah negeri yang beradat Perpatih dan budaya Minangkabau. Antara budaya yang popular di negeri ini ialah ‘Berbongai’, acara berbalas pantun. Keunikan bongai ini ia dipersembahkan dengan alunan muzik dan lenggok para pembongai (pemantun) yang tersendiri. Selain adat berpantun, satu lagi budaya memang sangat ‘glamor’ di luar negara, iaitu budaya tari piring. Uniknya tarian ini juga melibatkan ‘stunt’ iaitu memijak piring pecah sambil menari. Jangan cuba di rumah ya, melainkan korang dah berguru dengan instruktur tari yang berpengalaman!
Mesti ada budaya yang korang pernah dengar dan ada juga yang baru korang tahu hari ini. Tak apa, kadangkala budaya ni tenggelam disebabkan kemodenan dan kurangnya pendedahan di media jadi apa yang kita ceritakan hari ini, boleh membantu semua ‘refresh’ semula. Kalau dah tahu tu, sebar-sebarkanlah ya ke generasi muda. Tanpa mengenali budaya kita, kita tak dapatlah membina jati diri kita.