Spray terus vs pakai kad tester – mana lagi OK?

13 November 2018 Izzati Hassan Tips

Hai semua!

Harini sis nak ceritakan tentang satu aktiviti yang menjadi kelaziman peniaga perfume macam kita semua. Iaitu memberi ‘free sample’ kepada pelanggan. Memandangkan wangian ini satu benda yang cukup rumit untuk diterangkan dengan kata-kata, pemberian ‘tester’ sangat-sangat membantu untuk closing sales dengan pengguna. Pelanggan yang dapat menguji bau pewangi kita lebih mudah untuk di ‘close sale’ berbanding yang tidak.

Ada dua cara biasanya peniaga perfume seperti kita mempromosikan pewangi kepada pelanggan. Iaitu dengan menyembur tester ke pergelangan tangan pengguna, atau dengan menyembur kepada kertas lalu diberikan kepada pelanggan. Kaedah kedua ini dinamakan kaedah ‘smell card’.

Tahukah anda, sebenarnya kaedah smell card lebih baik dan lebih digalakkan berbanding semburan terus kepada tangan pelanggan? Tapi, bukan kerana nak menjimatkan pewangi saja ya. Ada banyak kelebihan antaranya:

  1. Mengelakkan pelanggan terkena alergi kulit. – lain pelanggan lain ragamnya, begitu juga jenis kulitnya. Ada pelanggan yang mudah naik ruam jika terkena aroma tertentu. Walaupun wangian itu selamat untuk semua pelanggan lain, tapi bak kata orang putih “better safe than sorry”!
  2. Mengurangkan kekuatan bau wangian. – Satu kelaziman pembeli wangian ialah menghidu bau terus dari muncung botol kerana bagi mereka kawasan itu paling ‘pekat’ dengan aroma wangian. Namun disebabkan kandungan alkohol yang tidak tersejat, baunya akan terasa agak kuat. Seharusnya wangian disembur ke kad , dibiarkan tersejat sebentar, barulah dibau oleh pengguna.
  3. Membolehkan pelanggan memilih lebih banyak wangian pada satu masa. – Ada pelanggan yang suka mencuba banyak jenis pada satu-satu masa. Satu sembur di tangan kanan, satu sembur di tangan kiri, kemudian nak sembur ke mana pula? Haa susah kan? Oleh itu, lebih baik disembur pada tester beberapa keping. Dari situ pelanggan boleh ‘shortlist’ mana yang paling disukai dan mencubanya terus pada tangan.
  4. Kertas tidak mempengaruhi bau. – Kertas memerangkap aroma yang kita sembur dan menyejatkannya sedikit demi sedikit. Kertas tidak berminyak atau berasid seperti kulit kita jadi apa yang kita sembur, itulah yang pelanggan kita akan bau.
  5. Mengelakkan baju pelanggan dari terkena wangian. – Kadangkala ada baju yang agak sensitif dengan wangian. Ada yang bertukar kuning sedikit ataupun turun warna. Elakkan daripada menyembur terlalu rapat dengan baju pelanggan ya! Seboleh-bolehnya gunakan kertas smell card kecuali diminta.
  6. Mengelakkan dari bau wangian kita tercampur dengan pewangi sedia ada.  Andai pelanggan anda ialah peminat wangian yang tegar, tentunya mereka memakai wangian ke mana sahaja mereka pergi. Ini mungkin menyukarkan anda untuk menguji wangian baru dengan mereka kerana baunya bercampur. Oleh itu dengan smell card, anda hanya sembur pada kad dan berikan untuk mereka bau kemudian. Ada juga pembeli yang suka mengumpul smell card untuk membandingkan nota aroma wangian bagi setiap brand sebelum memilih yang terbaik.

Sis harap, enam kelebihan smell card yang sis senaraikan ini boleh menggalakkan semua reseller menggunakannya sebagai medium utama untuk promosi. Apatah lagi jika smell card anda terpapar nama pewangi beserta nama outlet korang. Tentu pelanggan yang terpikat dengan wangian korang akan kembali pada hari lain untuk membeli ataupun lebih baik–mempromosikan outlet kepada rakan-rakan yang lain!

Sehingga kita jumpa lagi. Akhir kata, jangan lupa sediakan stok smell card di outlet anda untuk sales yang lebih kencang. Bye!