Saintis Islam Yang Mana Buat Pewangi? Ini Sejarah Perfume Yang Kita Mungkin Tak Tahu.

22 October 2019 Zatul Akma Tips

Pernah tak korang terfikir yang minyak wangi ni sangat berkait rapat dengan kehidupan seorang manusia? Maklumlah setiap perkara dalam kehidupan kita seharian mesti berkait dengan minyak wangi ini. Daripada minyak wangi yang kita bawa kemana-mana sahaja kita pergi, hinggalah ke pencuci pakaian dan rumah. Tapi pernahkah korang tertanya-tanya dari mana wujudnya wangian? Siapa sebenarnya pengasas produk minyak wangi pertama? Sebelum admin share kan lebih lanjut, mari kita mengambil sedikit ilmu mengenai sejarah pembuatan minyak wangi ini.

 

Kata nama “perfume” atau “Parfum” sebenarnya berasal dari bahasa Latin yang membawa maksud “melalui asap”. Mesir adalah yang pertama menggunakan parfum dalam budaya mereka seawal kurun ke-9. Ketika itu, pewangi digunakan di Mesir untuk upacara ritual bermula dari kelahiran sehinggalah ke upacara kematian. Mereka menggunakan kemenyan dan kayu manis yang diproses dengan cara digiling, diparut atau ditumbuk. Penggunaan awal botol parfum di Mesir pula adalah sekitar tahun 1000 SM. Hal ini dibuktikan apabila makam Firaun telah dibuka oleh ahli arkeologi dan menemui lebih dari 3000 botol minyak wangi. Budaya ini diikuti oleh kaum Cina purba, masyarakat Hindu, Israel, Carthaginians, Arab, Yunani dan juga Romawi. Pada masa itu, wangian kemenyan seperti myrrh, opoponax, dan frankincense lebih popular.

 

Buku yang pertama berkenaan perfume pula, dihasilkan oleh seorang Arab bernama Al-Kindi pada abad ke-9. Bukunya yang bertajuk “Kitdb Kimiyd’ Al-‘Itr Wat-Tas’idat” atau Buku maksudnya Sebatian Kimia dan Penyulingan Minyak Wangi. Di dalam buku itu terdapat ratusan resepi untuk membuat minyak wangi. Disebabkan itu, beliau dikatakan sebagai pengasas minyak wangi moden. Biarpun buku tersebut juga menceritakan tentang 107 cara untuk membuat parfum, namun beliau tidak meletakkan sari pati bunga sebagai bahan wangian. Kemudian seorang doktor dan ahli kimia yang berasal dari Parsi, Ibnu Sina menemui proses ekstrak minyak dari bunga-bungaan melalui proses penyulingan. Beliau membuat eksperimen dengan bunga mawar yang dicampurkan minyak, herba dan daun bunga yang menghasilkan wangian yang luar biasa. Bermula saat itu, sari pati bunga mula digunakan sebagai bahan mentah wangian secara besar-besaran. 

 

Ilmu pembuatan parfum pertama kali memasuki Eropah pada abad ke 14. Ratu Elizabeth yang pertama dikatakan sangat sensitif terhadap bau sehinggakan bukan sahaja dirinya disembur minyak wangi, malah semua tempat awam dititahkan untuk diwangikan juga. Kemudian, timbul pula trend untuk sarung tangan wangi maka industri wangian terus meningkat dengan permintaan wangian khusus bagi sarung tangan. Pada abad ke-16 seorang pembuat parfum yang berbangsa Itali, Rene le Florentin telah membawa masuk teknik pembuatan wangian yang baru. Beliau menyembunyikan resepi pembuatan parfum di ruang bawah tanah yang dibina khas. Namun, teknik pembuatan itu terdedah dan industri parfum terus tersebar ke seluruh Eropah. 

 

Sepanjang zaman pembaharuan Renaissance di Perancis, minyak wangi digunakan dengan kerapnya oleh kebanyakan keluarga diraja dan menjadi satu cara menutupi bau badan mereka kerana mereka jarang mandi. Raja Napoleon dikatakan menggunakan dua ‘quart’ wangian bunga violet setiap minggu! Negara Perancis pula, menjadi tempat utama penanaman bunga-bungaan yang menjadi bahan mentah industri minyak wangi. Pada abad ke 18, banyak kebun tumbuhan dan bunga-bungaan muncul di Wilayah Grasse, Selatan Perancis, untuk memenuhi keperluan bahan mentah yang semakin meningkat. Wilayah Grasse kekal sehingga hari ini sebagai pemula industri wangian moden, dan Eropah kekal sehingga hari ini sebagai peneraju industri wangian dunia.

 

Pernahkah korang tertanya-tanya wangian yang tertua di dunia sekarang? Ya, wangian tersebut masih wujud sehingga kini! Ia ialah Eau de Cologne 4711 yang dicipta pada tahun 1796 dan juga merupakan minyak wangi uniseks pertama di dunia. Kota Cologne, Jerman, merupakan tempat terciptanya Eau de Cologne ini, seiring dengan namanya. Kalau anda ke sana, anda dapat melihat kota tersebut penuh dengan gerai minyak wangi dengan bauan yang sangat menyenangkan. Di tengah kota inilah anda akan dapat menemukan minyak wangi 4711 yang ‘legend’ itu.

 

Warna-warni sungguh sejarah perfume di dunia ni ya. Rupanya banyak juga benda yang kita tak tahu. Seperti yang korang lihat sekarang, wangian sudah berevolusi kepada pelbagai jenis bau yang unik dan menarik. Namun ada satu persamaan iaitu ia memberikan bauan yang menyenangkan supaya kita semua sentiasa selesa dan yakin untuk ke mana sahaja. Jadi selepas ini, sebelum anda spray wangian anda, ingatlah bahawa setiap titis semburan itu datang dari kajian dan usaha yang sungguh teliti sejak ratusan tahun dahulu untuk anda tampil cantik bergaya. Semoga kita terus mewangi!