5 Pantang Larang Memberi Hadiah Sempena Tahun Baru Cina

2 February 2019 Izzati Hassan Tips

Seperti yang disebutkan dalam entri blog sebelum ini, adalah menjadi kebiasaan warga Tionghua untuk membawa oleh-oleh semasa melawat sanak saudara.

Antara hadiah yang menjadi kebiasaan ialah hamper CNY yang lazimnya dijual di pasaraya dan hipermarket yang mengandungi makanan kering, snek, serta minuman. Ada yang memberikan hadiah yang lebih mudah iaitu menghulur wang tunai dalam paket angpau merah.

Namun, ada beberapa jenis hadiah yang amat dilarang dalam budaya Cina. Silap haribulan, boleh saja dibuat kes putus kawan putus saudara. Ini kerana dalam budaya pemberian hadiah Cina, setiap hadiah mempunyai makna yang tertentu dan perlu difahami.

Jadi berikut adalah pantang larang memberi hadiah semasa Tahun Baru Cina…jom baca!

1. Jangan memberi angpau dalam bungkusan putih atau wang tunai lama.

Ada sebab mengapa angpau CNY biasanya berwarna emas atau merah saja. Ini kerana warna lain seperti putih dan hitam memberi makna kematian dan hanya diberikan pada majlis pengebumian seseorang.  Wang tunai lama, koyak, atau renyuk juga tidak digalakkan, kerana bagi mereka tahun baru mestilah dimulakan dengan wang baru. Wang juga sebolehnya diberikan dalam gandaan puluh, ratus, atau lapan atau enam.

2. Jangan berikan hadiah jam tangan

Mungkin ada yang mahu mengagumkan bapa mertua atau yang tersayang dengan memberikan jam tangan berjenama. Namun, perkataan “memberi jam” jika diterjemah dalam bahasa Cina, bunyinya sama dengan “menghadiri pengebumian” (sòng zhōng). Jam juga simbolik kepada ‘masa yang telah berlalu’ dan mengingatkan si penerima kepada kematian.

3. Jangan berikan hadiah topi hijau atau apa-apa jua kasut.

Walaupun ramai orang muda yang menyukai aksesori trendy seperti topi dan kasut, namun sepertimana jam tangan, ia membawa konotasi negatif. “Pakai topi hijau” jika diterjemah dalam bahasa Cina ialah dài lǜ mào zǐ, juga bermakna lelaki yang dayus. Kasut pula kalau dalam bahasa Cina bunyinya seperti “kejahatan” atau xié. Jika orang yang anda kenali mempunyai impian untuk membeli kasut atau topi jenama tertentu, apa kata berikan saja hadiah dalam bentuk wang, ya?

4. Buah pear, biarpun sedap, tidak digalakkan.

Walaupun dalam kebanyakan hamper CNY ada buah-buahan seperti oren, pic, delima dan epal merah biasanya disertakan sekali, namun buah pir tidak akan ada. Pir dalam bahasa cina disebut lí , yang bunyinya juga bermaksud “berpisah”. Jangan beri hadiah pir pada kekasih ya! Berikan saja buah pic yang bermaksud ‘nasib cinta yang baik’.

5. Bunga potong seperti memotong nyawa!

Mungkin memberikan sepotong dua bunga adalah romantis dan sweet pada Hari Valentine, namun tidak bagi Tahun Baru Cina. Bunga potong amatlah dilarang terutamanya bunga berwarna putih atau kuning seperti krisantimum kerana ia biasanya diberikan semasa kematian seseorang. Lazimnya pada tahun baru, tanaman dalam pasu yang kelihatan hidup dan segar akan diberikan. Contohnya sepasu pokok buluh, sepasu pokok buah oren, limau, kumquat atau sepasu bunga Pic, Orkid, Azalea dan Hydrangea. Lagi lebat pasu itu, lagi ‘ong’ hadiahnya bagi si penerima. Ha, sekarang baru korang tahu kenapa pasu ni banyak dijual sebelum Tahun Baru Cina kan?

Harapnya dengan lima tips ini korang semua boleh mendapat idea hadiah apa yang sesuai untuk dijadikan buah tangan semasa ke rumah rakan / majikan / ahli keluarga di Tahun Baru Cina. Tapi kan, kalau pening-pening kepala nak fikir, apa kata beli je wangian De’Xandra letak dalam box. Cari yang aroma oren-oren sikit macam Nemesis atau Vigor untuk lelaki, Olivia atau Grace untuk wanita. Mesti ada yang terpikat!