5 Perkataan ‘AJAIB’ Yang Boleh Memukau Pelanggan

Dalam berjual beli kadang-kadang kita mencari apakah formula yang sesuai untuk memancing pelanggan membeli barang kita. Apatah lagi jika ada 100, 200 orang lain menjual barang yang sama. Namun ada caranya untuk kita ‘pukau’ mereka datang membeli dengan kita.
Eh, jangan risau, bukan pukau cara haram! Tapi ini pukau dengan perkataan-perkataan hikmat yang secara psikologinya, menarik perhatian seseorang untuk membeli. Berikut adalah lima perkataan ajaib yang boleh menarik pelanggan membeli dari anda.
1. Anda
Anda, kau, awak, kamek mahupun aok – apa-apa saja perkataan yang merujuk kepada si pembeli sebenarnya akan menarik perhatian mereka. Percaya atau tidak, manusia ni sebenarnya pentingkan diri sendiri. Oleh itu apabila inginkan sesuatu barang, mereka akan terfikir “apakah faedah benda ni pada aku?”
Oleh itu, peniaga yang hebat akan menggunakan lebih banyak kata ganti diri kedua seperti kau, kamu, awak atau apa-apa yang sesuai, supaya ayat jualan mereka lebih ‘personalized’ dan mereka merasa diri lebih istimewa jika membeli dari anda.
2. Percuma
Siapa tak suka barang percuma kan? Sebab itulah perkataan percuma selalu sangat digunakan dalam menarik pelanggan. Penawaran barang percuma membuatkan pelanggan merasa ada nilai tambah dalam urusniaga mereka dengan anda. Mereka juga akan rasa istimewa. Namun hati-hati dan jangan terlalu banyak menggunakan perkataan PERCUMA! Ini akan menurunkan nilai produk anda dan mungkin membuatkan mereka merasakan anda mempunyai barang berkualiti rendah.
Tidak ada barang percuma untuk ditawarkan? Cuma ubah sedikit pendekatan ayat anda. Contoh: “Beli dua RM99” menjadi “Beli 1 PERCUMA 1 dengan hanya RM99”.
Mana yang lebih menarik? Tentunya yang kedua bukan?
3. Baru
Kita selalunya ingin mendapatkan barang yang terkini. Ingin menjadi yang terawal merasa produk yang hebat. Kata orang zaman sekarang, “FOMO”- iaitu “Fear of Missing Out”.
Oleh itu sebutkan kelebihan produk anda berbanding produk orang lain, menggunakan perkataan “Baru” untuk menarik perhatian mereka. Contoh, “Aroma BARU!” “Trend terbaru”, “Baru Restock”, “Promo BARU minggu ini!”, “Freegift BARU untuk anda”.
Seperti yang anda lihat di atas, perkataan baru tidak semestinya digunakan untuk produk baru sahaja. Jadi cubalah!
4. Sekarang
Ramai orang sebenarnya membeli menggunakan emosi berbanding membeli menggunakan fakta. Oleh itu menggunakan perkataan yang menaikkan perasaan ‘terdesak’ kepada mereka boleh digunakan untuk mereka terus membeli secara impuls. Apakah perasaan anda semasa membaca:
“Beli dengan kami dan dapatkan hadiah percuma”
berbanding
“Beli dengan kami dan dapatkan hadiah percuma SEKARANG!”
Ayat kedua lebih menarik perhatian, bukan? Secara psikologi, anda berasa takut, gusar, jika anda tidak beli sekarang mungkin anda akan terlepas peluang. Begitulah juga perasaan bakal pembeli anda. Jadi, dalam pengiklanan biasa mahupun pengiklanan Facebook, cuba selitkan perkataan ini dalam ayat anda. Anda akan nampak bezanya, sekarang!
5. Rahsia
Semua orang suka mengetahui sesuatu yang ‘eksklusif’ dan ‘khas’, seperti rahsia atau ‘pendedahan’. Sebab itulah blog-blog gosip dan khabar angin pantas dikongsikan di media sosial. Rahsia yang hanya kita saja yang tahu menyebabkan kita rasa seperti ‘istimewa’, bukan begitu?
Oleh itu jadikan produk anda seolah-olah rahsia terbaik yang baru didedahkan khas kepada pembeli. Contoh “Rahsia menjadi penggoda wanita – beli wangian ini sekarang!” atau “Ingin tahu rahsia gadis yang berkeyakinan? Wangian kami jawapannya”
OK itu dia lima perkataan AJAIB yang boleh memukau pelanggan. Tak percaya mari kita try sekali.