Doa Yang Tidak Dimakbulkan

23 May 2019 De'Xandra Titipan Wangian Ramadhan

Bagi orang yang beragama Islam, doa adalah senjata kepada orang mukmin. Namun, kadangkala kita tertanya, mengapa doa kita tidak dimakbulkan Allah SWT sedangkan kita kerap berdoa perkara yang baik-baik, malahan sentiasa merayu agar permintaan kita itu dikabulkan di setiap masa.

 

Berkali-kali tanya pada diri sendiri, mengapa semua ini terjadi? Mengapa doa belum termakbul? Kadangkala diri kita merasa seperti mahu berputus asa. Pernahkah anda alami situasi begitu? Ia adalah perkara biasa, kerana sebagai mahkluk Allah SWT, kita hanyalah insan yang lemah.

 

Kadangkala doa kita tidak termakbul bukan kerana kita mendoakan perkara yang tidak baik, namun disebabkan perkara lain seperti:

 

  • Memakan dan minum dari sumber rezeki yang haram dan tidak berkat
  • Memakai pakaian dan barangan dari sumber haram dan tidak berkat
  • Melakukan doa dengan tergesa-gesa dan kesombongan
  • Hanya berdoa ketika dilanda kesusahan dan kesempitan hidup
  • Doa tanpa melakukan sebarang usaha untuk mencapai keinginan tersebut. Contohnya berdoa untuk mendapatkan kerja, tapi satu resume’ pun tidak dihantar!

 

Waktu mustajab berdoa

 

Selain dari mengelakkan perilaku yang tidak memakbulkan doa, amalkan juga berdoa pada waktu mustajab kepada Allah SWT, seperti waktu-waktu berikut:

 

  1. Waktu antara azan dan iqamah
  2. Semasa hujan turun
  3. Sepertiga terakhir malam
  4. Hari arafah pada musim haji
  5. Ketika waktu sahur dan berbuka puasa.

 

Berdoa pada waktu-waktu mustajab merupakan cara kita berusaha untuk mendapatkan keredhaan dunia dan akhirat dari Allah SWT. Namun, berdoalah juga di waktu-waktu yang lain. Haa, dan yang paling penting, jangan pernah berputus asa untuk berdoa kepada Allah!

 

Semoga amalan kita yang berterusan dapat diterima di sisi Allah dan dapat mempersiapkan diri kembali bertemu denganNya dengan timbangan amal yang cukup.

 

Jumpa lagi di edisi Titipan Ramadhan yang akan datang!

https://youtu.be/K6DXWQsfJIE