Dexandra 101 : Cara apply wangian pada badan

25 June 2018 Izzati Hassan Uncategorized

Anda telah membeli pewangi. Tahniah! Tentu tak sabar nak pakai untuk hari istimewa kan?

Samada ke tempat kerja, janji temu atau majlis keraian, pemakaian wangian yang betul boleh membantu aromanya tersebar dengan baik dan menyenangkan sesiapa saja yang menghidu. Namun, ada banyak cara pemakaian wangian yang kita lihat di luar sana, dan kadang-kadang kita terkeliru cara pemakaian yang mana paling sesuai dengan kita.

Jangan risau, berikut adalah tips cara pemakaian pewangi yang mungkin sesuai untuk anda.

Cara No. 1 – Buat awan pewangi: Ya, cara ni agak lucu kan? Tapi sebenarnya cara ni boleh diterima untuk mereka yang tidak suka bau terlalu kuat. Ada juga yang mengatakan cara ni boleh sebarkan pewangi sama rata ke seluruh badan. Jadi tak adalah bau tertumpu pada tangan atau leher. Caranya mudah saja, sembur pada udara dan berjalan ke dalam wap pewangi tu. P.S. jangan cuba dalam tempat sempit seperti lif ya, nanti habis semua orang pun berbau sama macam anda!

Pada titik nadi: Ini cara yang paling popular untuk menggunakan pewangi. Titik nadi merupakan kawasan dimana salur darah agak dekat dengan badan, seperti pergelangan tangan, leher, dada dan pelipat lutut. Haba dari kawasan ini menyejatkan wangian anda, dan menyebarkannya ke persekitaran serta menarik perhatian orang.

Oh ya, satu perkara yang penting: Cuba elakkan menggosok pewangi selepas disembur. Walaupun ramai orang suka buat begini, ia tak menjadikan bau anda lebih wangi. Sebenarnya anda akan memecahkan molekul pewangi pada kulit anda dan mengubah bau sebenarnya.

Pada baju: Kalau dalam iklan komersil biasanya kita melihat orang menyembur pada baju walaupun umumnya pengguna wangian akan menyembur terus pada kulit. Tahukah anda, ada sesetengah keadaan, menyembur pada baju lebih afdal?

Ya, bagi sesetengah orang yang mempunyai minyak natural pada badan (bukan bermaksud anda tak mandi ya! Ini minyak pada kulit anda yang biasanya anda bau selepas mandi). Minyak tersebut mungkin ‘bercampur’ dengan wangian yang disembur dan membuatkan baunya menjadi tidak menyenangkan. Selain itu, wangian yang mempunyai bau yang lembut dan kurang tersebar juga biasanya dapat ‘dibantu’ dengan menyembur pada baju. Wangian yang disembur pada kain tidak senang tersejat seperti pada kulit.

Pada rambut: Sebenarnya tidak digalakkan untuk anda menyembur wangian biasa terus ke wambut kerana ditakuti bahan alkohol dalam wangian boleh merosakkan rambut. Namun, wangian De’Xandra tidak mempunyai alkohol, jadi tiada masalah. Begitupun, anda masih digalakkan untuk menggunakan cara menyembur pada sikat dahulu, dan sisirkan rambut anda menggunakan sikat tadi. Baunya akan lebih sekata dari pangkal ke hujung rambut. Antara selebriti yang gemar menggunakan pewangi pada rambut, ialah Meghan Markle.

Satu lagi tip tambahan – Jangan lupa untuk sembur semula beberapa kali sepanjang hari. Dalam cuaca yang panas berangin macam ni, molekul pewangi cepat hilang bila tiba tengahari. Jadi janganlah kedekut dengan haruman kegemaran anda. Tambahan pula, bau pewangi yang sedap ni boleh buatkan mood kita kembali bersemangat setelah seharian bekerja. Tak begitu?

Jadi, jangan lupa aplikasikan tips ni untuk dapatkan hari-hari yang selesa dengan pewangi kegemaran anda. Semoga kita bertemu lagi!