Budaya Sambutan Ramadhan

23 May 2019 De'Xandra Titipan Wangian Ramadhan

Alhamdulillah, sudah beberapa hari kita menyambut bulan Ramadhan yang mubarak ini? Puasa setakat ini penuh? Hehe…mesti seronok kan. Awal-awal bulan puasa ni, biarpun penat dan lapar, tapi semangat kita terasa lain macam. Maklumlah sudah lama tak ketemu bulan Ramadan.

 

Disini, De’Xandra akan kongsikan antara budaya-budaya menyambut Ramadhan seluruh dunia.

 

  1. Makan besar menyambut Ramadhan

Keraian atau majlis makan-makan dilakukan pada hari terakhir Syaaban sebelum bulan Ramadhan. Hari ini biasanya hari melihat anak bulan dan juga dilarang untuk berpuasa kecuali berpuasa ganti. Di Maldives, contohnya, mereka mengadakan aktiviti Maheefun di mana ahli keluarga akan mengadakan ‘potlick’ atau piknik di tepian pantai, sebagai kali terkahir untuk makan di siang hari sebelum bermulanya Ramadhan.

 

  1. Mandi ramai-ramai di sumber air

Aktiviti yang dinamakan ‘Padusan’ ini khas dijalankan di negara Indonesia, terutamanya untuk Muslim di kawasan Yogyakarta dan Jawa Tengah. Warga tempatan akan pergi ke sumur, sungai, tasik, pantai dan lain-lain untuk membersihkan diri. Ini dikatakan simbolik membersihkan diri dan menyucikan diri sebelum memasuki bulan yang dirahmati seperti bulan Ramadhan. Aktiviti ini juga dijalankan sekali lagi, iaitu sebelum memasuki bulan Syawal.

 

  1. Berbuka puasa pertama bersama keluarga

Ini merupakan kelaziman bagi kebanyakan budaya warga Muslim, dari timur ke barat. Ramadhan pertama dianggap hari yang istimewa dan penuh nostalgik, mengimbau kenangan berpuasa semasa kecil dulu. Oleh itu hari pertama atau hujung minggu pertama puasa biasanya menjadi hari berkumpul serta berbuka dengan makan besar bersama keluarga.  Kegiatan ini amat popular dalam budaya warga Islam di kebanyakan negara termasuklah Malaysia dan Indonesia.

 

  1. Berziarah dari rumah ke rumah

Pernah dengar ‘Trick or treating’ tak? Haa, di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait, Ramadhan disambut agak unik iaitu dengan mendermakan gula-gula dan manisan kepada kanak-kanak yang mengetuk pintu rumah mereka. Aktiviti ini dinamakan Haq Layla di UAE dan Gerga’aan di Kuwait. Di UAE, kanak-kanak akan berkunjung dari rumah ke rumah bersama beg sandang dinamakan Kharyta, yang digunakan untuk mengisi manisan dan kekacang, manakala di Kuwait kanak-kanak akan datang menyanyikan lagu kepada tuan rumah, lalu diberikan coklat dan gula-gula.

 

  1. Perarakan dengan muzik dan lagu

Di negara Albania pula lain ceritanya. Semua penduduk berketurunan Roma Muslim tidak kira tua atau muda akan berarak di sepanjang jalan sambil menyanyi lagu rakyat diiringi sejenis gendang kulit kambing bernama ‘lodra’. Lagu ini khas didendangkan untuk menyambut Ramadhan sahaja. Penyanyi lagu ini juga akan memasuki rumah-rumah orang Muslim di sekitarnya bagi menyanyikan balada bulan puasa kepada seisi keluarga.   

 

Satu lagi tempat yang menjalankan perarakan menyambut puasa adalah warga Semarang di Indonesia. Perarakan ini dinamakan Dugderan. Ia dahulunya diraikan dengan dentuman meriam, mercun dan bunyi beduk untuk mengingatkan bahawa Ramadan telah tiba. Namun kini ia lebih terkenal kerana pesta jualan, makanan minuman yang ditaja syarikat-syarikat besar, serta perarakan replika Warak Ngedok iaitu haiwan mistik yang dikatakan menyerupai burqa, haiwan yang membawa Rasulullah mengembara pada malam Israk Mikraj.

 

  1. Pesta tanglung yang cantik berseri

Negara Turki sinonim dengan keindahan dan keunikan bandarnya yang berwarna-warni. Namun suasananya lebih meriah menjelang bulan puasa. Bukan saja meriah dipenuhi makanan dan minuman unik, tanglung cantik yang dinamakan ‘Mahya’ juga akan dipasang di sekitar jalan raya dan perumahan. Kini Mahya moden turut menampilkan lampu elektronik yang berbentuk huruf, digunakan untuk memaparkan ucapan selamat berpuasa ataupun hadis yang menarik.

 

Di negara Mesir pula, tanglung yang dinamakan ‘fanous’ menjadi popular pada bulan Ramadhan. Bila tibanya bulan Ramadhan, warga Islam Mesir akan menggantung ‘fanous’ di hadapan rumah-rumah serta tepi jalan sepertimana pesta tanglung. Kecantikan ukiran dan rupa bentuk ‘fanous’ yang unik menjadikan suasana yang cukup indah untuk sesiapa saja melihatnya. Kini ‘fanous’ sudah terkenal di seluruh dunia dan boleh didapati di kebanyakan negara Islam, termasuk di Malaysia!

 

  1. Sudut Ramadhan

Ramadhan Corner atau Sudut Ramadhan ialah budaya yang agak baru namun sudah mula bertapak di kebanyakan negara, terutamanya di dalam komuniti Muslim yang tinggal di negara Barat. Oleh sebab komuniti Muslim Barat agak kecil dan tersebar luas, mereka menjadikan sudut Ramadhan sebagai satu cara mudah untuk mengingatkan ahli keluarga dan anak-anak mereka mengenai bulan Ramadhan. Suatu sudut di dalam rumah akan dihias dengan cantik bertemakan Ramadhan seperti meletakkan hadis, Sudut ini akan dijadikan tempat beribadat, bertadarus atau bertemu dan berkongsi ilmu-ilmu penting mengenai Islam.  

 

Tidak kiralah apa jua yang kita buat bila tibanya bulan Ramadhan, peganglah satu perkara iaitu menjalani bulan ini dengan ibadah dan amal soleh. Semoga sebulan yang penuh dengan keberkatan ini kita semua dapat muhasabah diri supaya menjadi insan yang lebih baik dan segala ibadah kita akan diterima.

 

https://youtu.be/sthf-VsIw9A