Adab Berziarah Di Hari Raya

23 May 2019 De'Xandra Titipan Wangian Ramadhan

Ramadhan belum pun tamat lagi namun lagu-lagu lebaran sudah mula berkumandang, menandakan semangat Aidilfitri sudah mula muncul dalam diri semua. Hari pertama Syawal adalah hari di mana umat Islam menyambut kemenangan mereka kerana telah berjaya mengawal nafsu selama sebulan sepanjang bulan Ramadan serta berjaya menghalang diri melakukan perkara dilarang.

 

Sambutan Aidilfitri ini juga adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim kerana sudah menjadi budaya untuk saling kunjung-mengunjung pada Hari Raya, bukan sahaja umat Islam, malah masyarakat pelbagai agama dan bangsa di negara ini.

 

Di Hari Raya ini, suasana harmoni dan keamanan dapat kita rasai di saat sanak keluarga, sahabat handai serta jiran tetangga datang berkunjung ke rumah sepanjang Syawal. Pelbagai juadah yang dihidangkan buat tetamu memeriahkan lagi suasana raya. Disini, De’Xandra akan kongsikan sunnah dan adab ketika berhari raya:

 

  1. Mandi sebelum pergi bersolat Hari Raya (atau sebelum Zuhur bagi yang tidak dapat bersolat).
  2. Makan sedikit makanan pada waktu pagi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya
  3. Ke masjid menggunakan jalan yang jauh dan pulang menggunakan jalan yang dekat.
  4. Bertakbir bertahmid dan bertasbih pada Hari Raya
  1.   Tingkat silaturahim, ukhuwah dengan bertemu rakan dan saudara
  2.   Memakai haruman bagi kaum lelaki
  3.   Memakai pakaian kemas dan bersih serta memotong kuku.
  4.   Menzahirkan keceriaan dan kemesraan pada wajah semasa bertemu rakan dan saudara.

 

Kemeriahan ini tidak akan berseri dan bermakna tanpa adanya kanak-kanak. Namun kebelakangan ini, kita banyak mendengar kisah tentang kanak-kanak yang tidak dikawal dengan baik oleh ibu bapa ketika bertandang ke rumah saudara mara atau jiran tetangga ketika beraya sehingga ada sesetengah daripadanya telah merosakkan harta benda tuan rumah. Hal ini menjadi sukar kerana ia melibatkan ikatan kekeluargaan dan persaudaraan.

Kanak-kanak tidak salah kerana mereka masih belum boleh membezakan baik dan buruk sesuatu perkara namun, ibu bapa tidak boleh memandang rendah akan hal ini kerana disinilah ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk membentuk akhlak dan adab anak-anak dari kecil.

Terdapat beberapa tips yang De’Xandra akan kongsikan sebagai panduan bagi mendidik dan mengawal anak-anak ketika beraya. Tips ini bukan hanya boleh digunapakai ketika musim perayaan semata-mata, malah boleh digunakan bila-bila masa  

  1. Menyediakan barang mainan untuk anak sebagai persediaan
  2. Selalu ingatkan anak untuk berkelakuan baik ketika di rumah orang
  3. Berfikiran positif dan sabar ketika anak buat perangai
  4. Hadkan kunjungan ketika datang ke rumah tetamu dengan tidak berkunjung terlalu lama

 

Semoga Aidilfitri tahun ini dapat disambut dengan meriah dan gembira!

 

https://youtu.be/beibeVdDcF4